Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Walaupun pada awalnya Hari Malaysia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penggabungan bersama Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Penyatuan itu bermula selepas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mencadangkannya pada 27 Mei, 1961 disusuli Mesyuarat Persatuan Parlimen KOMANWEL Cawangan Tanah Melayu di Singapura pada 23 Julai yang memutuskan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia yang dipengerusikan Tun Mohammad Fuad Stephens.

Penyatuan dan kerjasama kerjasama itu perlu diadakan terutamanya untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Di samping itu, gagasan ini bertujuan mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepat proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak.
Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan hingga ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.
Suruhanjaya Cobbold
Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak bertujuan memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak.
Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961.
Suruhanjaya dianggotai lima ahli yang dipengerusikan bekas gabenor Bank England Lord Cobbold.
Ahli-ahlinya terdiri daripada Dato Wong Pow Nee dan Mohd Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston wakil kepada kerajaan British, sementara H.Harris bertindak selaku setiausaha.
Sejak Februari hingga April 1962, Suruhanjaya telah menemui lebih 4,000 orang dan menerima 2,200 memorandum daripada pelbagai pihak daripada parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri da pemimpin kaum dan sebagainya.
Hasil daripada laporan menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia.
Sokongan itu jelas dibuktikan menerusi laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Suruhanjaya Cobbold juga mengesyorkan penubuhan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Persekutuan Tanah Melayu ditukar kepada Persekutuan Malaysia, kuasa autonomi dan jaminan khas dalam beberapa perkara diberi kepada Sabah dan Sarawak serta kedudukan istimewa kaum peribumi Sabah dan Sarawak.
Rakyat Sabah dan Sarawak juga mengkaji beberapa tuntutan yang munasabah untuk menjaga kepentingan mereka sebagai Bumiputera sebelum menyertai Malaysia.
Tuntutan ini dikenali 20 Perkara Sabah dan syarat Borneo Utara menyertai Malaysia.
Lanjutan daripada laporan Cobbold tersebut, penubuhan Malaysia akhirnya telah ditetapkan pada tarikh 31 Ogos, 1963 beserta dengan syarat bahawa segala perkara berkaitan perlembagaan telah diselesaikan.
Dalam pada itu, wakil-wakil setiap negeri Borneo dibawa melawat dan melihat sendiri keadaan pentadbiran dan kemajuan yang telah dicapai seperti pembangunan luar bandar, peningkatan taraf pendidikan, kemudahan awam dan kesihatan serta hak-hak keistimewaan kaum Bumiputera.
Berikutan itu sebuah jawatankuasa ditubuhkan pada Ogos 1962 iaitu Jawatankuasa Antara Kerajaan yang juga dikenali sebagai Lansdowne Committee (IGC) bagi melaksanakan tanggungjawab berkaitan perkara perlembagaan yang dapat memelihara kepentingan kedua-dua negeri dalam persekutuan baharu tersebut.
Berikutan itu, sebuah penyata telah dikeluarkan oleh jawatankuasa yang menggariskan cadangan-cadangan perlembagaan berkaitan.
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada telah dipersetujui menjadi asas kepada Perlembagaan Malaysia.
Selepas mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan wakil-wakil Borneo Utara, IGC menghasilkan draf ’20 Perkara’ yang menyentuh kepentingan Borneo Utara dalam Malaysia – 20 Perkara yang menjadi asas kompromi ini membabitkan antaranya bahasa, agama, kewangan, undang-undang, perhidmatan awam, pendidikan, perwakilan dalam parlimen dan imigresen.
Begitu juga dengan Sarawak, kompromi yang dicapai digarap dalam 18 Perkara.
Persefahaman melalui 20 Perkara dan 18 Perkara inilah yang menjadi pengikat dan asas perlindungan kepada hak-hak penduduk Borneo Utara dan Sarawak dalam Malaysia.

Kejayaan Pembentukan Malaysia
Pada Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia itu telah ditandatangani wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos, 1963.
Bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha PBB hanya dapat disiapkan pada 14 September. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.
16 SEPTEMBER, 1963
Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September, 1963. Upacara gemilang itu telah dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara juga dihadiri anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas. Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali diselang seli laungan rakyat yang hadir.

Pemasyhuran Malaysia
Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman membacakan Pemasyhuran Malaysia di Stadium Merdeka pada pagi 16 September 1963. Berikut ialah teks pemasyhuran yang dibaca beliau:
Dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan seru sekalian alam dan selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad dan bagi sekalian keluarga serta sahabat-sahabatnya.
Bahawasanya oleh kerana suatu Perjanjian yang diperbuat pada Sembilan hari bulan Julai tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura maka telah dipersetujui bahawa hendaklah disekutukan Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang dan Negeri Melaka dan bahawa Persekutuan itu hendaklah dinamakan “Malaysia”.
Dan bahawasanya oleh kerana pihak-pihak dalam Perjanjian yang tersebut telah bersetuju bahawa mulai daripada penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura hendaklah tamat daripada menjadi jajahan takluk Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan dan kuasa dalam ketiga-tiga buah Negeri itu;
Dan bahawasanya oleh kerana telah dimasyhurkan suatu Perlembagaan bagi Malaysia yang akan menjadi kanun yang muktamad di dalamnya;
Dan bahawasanya oleh kerana Perlembagaan yang tersebut itu telah diadakan syarat bagi menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan-keutamaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan bagi mengekalkan keamanan dan kemesraan di dalam Malaysia sebagai Kerajaan yang mempunyai Raja yang berperlembagaan dan yang berdasarkan demokrasi cara berparlimen;
Dan bahawasanya oleh kerana Perlembagaan yang tersebut itu telah disahkan oleh suatu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu dan Parlimen United Kingdom maka telah berjalanlah kuatkuasa Perlembagaan itu pada Enam Belas hari bulan September tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga;
Maka dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengisytihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada Enam Belas hari bulan September tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga bersamaan dengan Dua Puluh Lapan hari bulan Rabiul Akhir tahun Hijrah Seribu Tiga Ratus Lapan Puluh Tiga, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbul–Alamin akan kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.

Selamat menyambut Hari Malaysia!