Tanggal 13 September 2021 merupakan salah satu dari Hari Kelepasan Am tahunan di Johor. Kita semua sedia maklum Hari Hol adalah hari cuti umum tapi tahukan kita apa sebenarnya Hari Hol tersebut.

Fakta – Hari Hol adalah acara keagamaan sempena memperingati kemangkatan Almarhum Sultan-Sultan Johor.
Acara ini diamalkan sejak tahun 1896, iaitu setahun selepas kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar. Pada hari tersebut, doa dan tahlil diadakan bagi memohon keberkatan daripada Allah S.W.T. Lazimnya, majlis tersebut diadakan di Makam DiRaja yang terletak di Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru. Sultan Johor akan mengetuai kerabat lelaki Baginda yang terdekat untuk menabur bunga dan menyiram air wangian bunga ke atas makam selepas bacaan doa oleh Dato’ Mufti.

Pada kebiasaanya, Majlis Tahlil diadakan selepas menziarahi makam. Namun, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, telah menitahkan bahawa majlis ini diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar (atau di Masjid Pasir Pelangi sementara Masjid Sultan Abu Bakar sedang diubahsuai) pada waktu petang sehari sebelum Majlis Istiadat Ziarah Makam DiRaja. Semua pentadbir negeri Johor berbangsa Melayu yang bergelar Dato’, Pegawai Daerah, penjawat awam negeri Johor, Penghulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, Ahli Parlimen dan Ketua – Ketua Jabatan yang beragama Islam wajib untuk menghadiri kedua-dua upacara tersebut.


Pada 13 September 2021, DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat ke Makam DiRaja Mahmoodiah, Johor Bahru, sempena Hari Hol. Turut berangkat, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Sumber: FB Page Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.